Subcribe to our RSS feeds Join Us on Facebook Follow us on Twitter Add to Circles

Klik! Sebagai tanda SOKONGAN!

Jobdirumah

Showing posts with label Himpunan Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Himpunan Kisah Teladan. Show all posts

29 September 2014

10 Mayat Yang Tidak Akan Reput Di Dalam Kubur

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w, bahawa terdapat 10 golongan manusia yang mana mayatnya TIDAK AKAN BUSUK dan TIDAK AKAN REPUT dan ia juga akan bangkit dalam keadaan tubuh asal pada hari kiamat kelak iaitu:

  • Para nabi Allah.
  • Ahli jihad fisabilillah.
  • Para alim ulama yang menegakkan kalimah Allah.
  • Para syuhada yang sentiasa memperjuangkan Islam.
  • Para penghafal Al-Quran dan beramal dengan Al-Quran.
  • Imam atau pemimpin yang adil dalam menegakkan syariat Allah.
  • Tukang azan yang tidak pernah meminta habuan atau balasan.
  • Wanita yang mati semasa melahirkan anak serta sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T
  • Orang yang mati dibunuh atau dianiaya kerana mempertahankan maruah dan agama Islam.
  • Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu adalah dari kalangan orang-orang yang beriman yang sentiasa menjaga hukum agama semasa hidup di atas dunia.


Kisah Para Syuhada Yang Tidak Reput Mayatnya..

As-syahid Zaid al Bawardi telah syahid di dalam pertempurannya di antara Militan Alawi. Namun begitu saudaranya daripada FSA (Free Syrian Army) tidak dapat mengeluarkan mayatnya kerana kawasan pertempuran itu dikuasai dan dikawal oleh Militan Alawi. Walaubagaimanapun, dua bulan selepas itu, mereka telah berjaya membebaskan kawasan tersebut dan salah seorang daripada Militan Assad yang ditahan oleh mereka telah menunjukkan lokasi kubur As-Syahid Zaid al-Bawardi.

Mereka (Militan Assad) telah menyorokkan jasadnya dibawah karpet yang penuh dengan habuk, tetapi apa yang menakjubkan ialah darahnya masih segar seperti dia baru sahaja syahid semalam dan baunya sangat wangi! Subhanallah! 

Lihatlah buktinya, Allah Maha Berkuasa dan Maha Benar akan janjiNya. Janganlah kita berasa takut untuk berjuang di jalan Allah.



Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik itu datang dari Allah S.W.T dan segala yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Assalamualaikum w.b.t

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat!

14 September 2014

Kisah Iblis Dengan Ahli Neraka

Assalamualiakum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka disitu telah disediakan sebuah mimbar dari api, dan mereka itu dipakaikan pakaian dari api, bermahkotakan dari api dan diikat akan Iblis itu dengan tali dari api.

Kemudian diperintahkan kepada Iblis laknatullah, "Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah Iblis menerima arahan, maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata, "Wahai penghuni neraka." Semua orang yang berada di dalam neraka mendengar ucapannya dan memandang kepada ketua mereka itu iaitu Iblis.

Kata Iblis, "Wahai orang-orang kafir dan orang-orang munafik, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati, dan akan dihalau, dan akan dihisab, dan akan menjadi dua kumpulan, iaitu satu kumpulan ke syurga dan satu lagi ke neraka Sa'ir."

Berkata Iblis lagi, "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia, bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua, akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat kau, mencaci aku, sebaliknya kamu sendirilah yang lebih berhak  mengumpat daripada aku yang mengumpat."


Gambar hiasan. Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu berhala. Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahriim 6)


Berkata Iblis lagi, "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah S.W.T, sedangkan Dia, Allah yang menciptakan segala sesuatu?" Akhirnya Iblis menutup kata-katanya, "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari ini, aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari kehariban Tuhan sekalian alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata Iblis itu, maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniyah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah. Dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniyah berkata, "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan! Kamu kekal di dalam ini buat selama-lamanya!!"



Perkara yang paling kita takut! Bila-bila masa sahaja IMAN kita boleh berubah, jika kita tidak berpegang teguh kepada dua perkara yakni, Al-Quran dan Sunnah. Tepuk dada tanya Iman.


Wallahualam. Segala yang baik datangnya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu datang dari saya sendiri. Sekian dahulu dari saya. Assalamualaikum w.b.t.

Sumber : Himpunan Kisah-Kisah Teladan, Syarikat Nurulhas 

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat!

12 September 2014

Kisah Asal Usul Api Di Dunia

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Apakah asal usul api di dunia ini?

Di dalam hadis diceritakan bahawa Jibril A.S telah datang kepada Rasulullah S.A.W lalu baginda bertanya kepada Jibril a.s; "Wahai Jibril, terangkanlah kepadaku sifat neraka itu." Kemudian Jibril menjawab, "Allah telah menciptakan neraka, apinya sudah dinyalakan 1000 tahun yang lalu, sehingga neraka itu menjadi hitam. Hitamnya neraka itu seperti malam yang gelap, apinya tidak pernah padam, juga terus menjilat-jilat, bara api neraka selamanya tidak akan padam."

Neraka Jahannam itu mempunyai beberapa ular yang besarnya seperti leher unta, juga terdapat kala jengking yang besarnya seperti keldai sehingga penghuni neraka berlari ketakutan. Ular-ular itu menggigit setiap bibir ahli neraka untuk dikelupaskan kulit mereka. Tidak ada seorang ahli neraka pun yang bisa selamat dari seksaan itu, kecuali mereka lari ke neraka lain.




Gambar sekadar hiasan. Spesis ular yang terbesar di dunia bukanlah dari spesis Anaconda, tetapi dari spesis Titanoboa! Subhanallah.



Abdullah bin Abbas meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Di dalam neraka itu terdapat ular-ular yang besarnya seperti leher unta. Jika ular itu menggigit salah seorang dari ahli neraka itu dengan sekali gigitan, maka rasa sakitnya itu dapat dirasakan sehingga 40 tahun lamanya."

Ibnu Mas'ud meriwayatkan, "Api di dunia ini hanyalah satu juz daripada 70 juz api neraka. Ketika Allah mengutuskan Jibril pergi ke tempat malaikat yang menjaga neraka untuk meminta api supaya dapat digunakan oleh Nabi Adam A.S, sehingga Nabi Adam dapat memasak menggunakan api tersebut. Malaikat Malik kemudian bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, berapa banyak yang kamu hendak dari api ini?" Jibril menjawab, "Kira-kira sebesar kurma."

Malaikat Malik Kemudian berkata, "Wahai Jibril, jika aku memberimu api sebesar kurma, maka pasti akan hancur tujuh langit dan bumi akibat dari panasnya api neraka.". Lalu Jibril berkata, "Kira-kira sebesar biji kurma." Malaikat Malik berkata, "Kalau aku memberikan menurut apa yang kamu hendaki (sebesar biji kurma), maka tidak akan turun dari langit setitis air, juga tidak akan tumbuh dari dalam bumi beberapa tumbuh-tumbuhan."



Perbandingan saiz di antara kurma dan biji kurma. 


Kemudian Jibril melaporkan kepada Allah, "Wahai Tuhanku, berapa yang harus aku ambil dari api neraka itu?" Allah berfirman, "Ambillah kira-kira sebesar semut kecil. Kemudian Jibril mengambil api neraka itu kira-kira sebesar semut kecil. Kemudian api neraka tadi yang sebesar semut kecil itu, dibenamkan ke dalam lautan sebanyak 70 kali. Kemudian Jibril datang membawa api itu dan diletakkan di atas gunung yang tinggi, maka gunung itu menjadi hancur.

Kemudian Jibril mengembalikan api tadi ke tempatnya, iaitu neraka, sedangkan asapnya yang masih tertinggal di beberapa batu dan besi ditinggalkan, sehingga hari ini. Maka api yang ada sekarang ini adalah daripada api neraka yang sebesar semut itu. Oleh itu ambillah keterangan ini sebagai satu pengajaran kepada diri kita semua. Allahuarkabar!


Kemudian api neraka tadi yang sebesar semut kecil itu, dibenamkan ke dalam lautan sebanyak 70 kali. Kemudian Jibril datang membawa api itu dan diletakkan di atas gunung yang tinggi, maka gunung itu menjadi hancur.



Sekian dari saya. Assalamualaikum w.b.t

Sumber: Himpunan Kisah-Kish Teladan, Syarikat Nurulhas. 

Sebarkan Ilmu, Untuk Saham Akhirat !

11 September 2014

Kisah Manusia Menjadi Kera

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Memandangkan esok adalah Hari Jumaat, yakni penghulu segala hari, jadi saya ingin berkongsi serba sedikit tentang kisah yang sangat-sangat menarik untuk dibaca. Dan sama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Insyaallah..

Pada zaman dahulu kebanyakan dari umat Nabi Musa A.S bekerja sebagai nelayan. Allah Yang Maha Pengasih telah memperlihatkan kemurahan-Nya dengan memberikan rezeki yang cukup kepada umat Nabi Musa A.S, iaitu berupa ikan yang sangat banyak.



Gambar Hiasan. Siapa yang tak seronok dapat ikan banyak macam ini tak. Hehehe. Subhanallah. Allah itu Maha Pemurah.


Sebenarnya disebalik kurniaan rezeki yang banyak itu, Allah hanya ingin menguji keimanan mereka. Pada zaman itu hari Sabtu merupakan hari cuti bagi umat Nabi Musa A.S, maka pada hari itu itulah mereka keluar beramai-ramai pergi ke laut untuk untuk menangkap ikan. Dan pada hari itu juga keluarlah ikan-ikan yang lebih besar daripada yang biasa. Akan tetapi jika mereka pergi ke laut pada hari lain, tidak pula bertemu ikan sebanyak itu dan sebesar itu.

Pada masa itu, hari Sabtu samalah mulianya dengan hari Jumaat pada zaman sekarang (Umat Nabi Muhammad S.AW), di mana umat Islam semuanya diwajibkan beribadat kepada Allah. Begitulah juga dengan umat Nabi Musa A.S ketika itu,mereka juga diwajibkan beribadat kepada Allah pada setiap Sabtu.


Tinggalkan segala urusan dunia dan tunaikanlah kewajipan kita sebagai hamba Allah S.W.T. Rasulullah saw bersabda, “Apabila tiba hari Jumaat, maka di setiap pintu masjid terdapat para malaikat yang menulis amalan manusia sesuai jarak rumah-rumah mereka. Siapa yang datang lebih awal, maka ditulis di awal. Lalu apabila imam berkhutbah, para malaikat menutup bukunya dan mereka mendengarkan khutbah.


Melihat keadaan banyaknya ikan di laut pada hari Sabtu, maka mereka berlumba-lumba ke laut untuk menangkap ikan meskipun Nabi Musa A.S telah melarang mereka daripada berbuat demikian. Mereka sengaja melupakan kewajipan yang lebih utama terhadap Allah S.W.T. Begitulah seterusnya pada setiap Hari Sabtu, mereka akan keluar beramai-ramai melihat ikan yang masuk ke dalam perangkap mereka. Oleh kerana mereka begitu asyik melihat ikan-ikan besar memasuki perangkap mereka, maka mereka pun tidak mementingkan lansung kewajipan mereka terhadap Allah S.W.T.

Akhirnya Allah S.W.T telah menyumpahi mereka semua menjadi kera. Hal ini ada disebut di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah Ayat 65-66; Mari kita baca bersama-sama.




Maksudnya: Sesungguhnya telah Kami ketahui di antara orang-orang yang melanggar peraturan pada hari Sabtu. Berkata Kami, jadilah kamu kera selama-lamanya. - Ayat 65

MaksudnyaMaka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. - Ayat 66

Maka jadilah mereka yang ingkar itu sedemikian supaya menjadi pengajaran kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Dalam ayat 66 ini telah ditujukan kepada kita supaya tidak menggunakan hari yang telah ditetapkan kepada kita, iaitu hari Jumaat untuk mencari keuntungan sehingga mengabaikan perintah Allah S.W.T.

PERSOALANNYA, adakah kita hari ini, umat Nabi Muhammad, punyai sifat yang sama dengan umat Nabi Musa yang lalu? Tepuk dada tanya IMAN..

Gambar sekadar hiasan sahaja. 

Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah melarang dari melagukan sya’ir di masjid, berjual-beli, dan membuat halaqah (bersembang hal dunia) pada hari Juma’at sebelum solat. Sabda Rasulullah S.A.W, “Jika kamu melihat orang berjual-beli di masjid, maka katakanlah kepada mereka, “Semoga Allah tidak memberi keuntungan di atas perniagaan kamu.” Dan apabila kamu melihat orang membuat pengumuman barang hilang di dalam masjid, maka katakanlah, “Semoga Allah tidak mengembalikannya kepada kamu." Wallahualam. Rasulullah meninggalkan kita dengan dua perkara iaitu, Al-Quran dan Sunnah. Jadi, berpeganglah kepada yang dua ini.

P.S: Para ulama telah bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)


Dan janganlah pula kita menjadi "Friday Man" yang hanya mengerjakan sembahyang seminggu sekali, atau pun "Yearly Man" yang mengerjakan sembahyang setahun sekali.

  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t

Sumber : Himpunan Kisah-Kisah Teladan, Syarikat Nurulhas

Sebarkan Ilmu, Untuk Saham Akhirat! Allahuakbar!!

10 September 2014

Secebis Kisah Tentang Seksaan Di Hari Akhirat

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Walaupun hampir semua manusia yang dihidupkan semula pada hari akhirat nanti dalam keadaan telanjang bulat, namun ramai juga di antara insan-insan pilihan Allah itu, dihadiahkan dengan pakaian yang sempurna bagi menutup aurat mereka, yakni orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T.

Manusia yang kafir serta orang-orang yang tidak beriman pada hari itu akan merasakan diri mereka terlalu hina kerana mendapati tubuh mereka tidak bersalut walau secebis kain pun! Subhanallah.

Orang-orang kafir itu juga akan mendapati tubuh dan sifat mereka itu berlainan dari sebelumnya dan begitu janggal sekali rupa paras mereka. Ini kerana pada hari itu, setiap satu daripada mereka akan bertukar menjadi hitam legam dan sangat hodoh sekali bentuknya. Nauzdubillah Min Dzalik.


Gambar hiasan. Mereka ini diusir berupa kera dan mereka itu adalah manusia yang suka mengadu domba. Terdapat 10 golongan manusia yang akan diusir dari Padang Mahsyar.


Tempoh masa di akhirat nanti tidak menentu. Ia bergantung pada setiap orang. Bagi orang-orang yang tidak beriman, mereka merasakan bahawa tempoh penyeksaan dan penantian pada hari akhirat itu sangat-sangat panjang lamanya. Pada hari itu, sesaat dirasakan bagai sehari dan sehari pula bagaikan setahun lamanya. Subhanallah.

Bagaimanapun, bagi orang-orang yang beriman yang mana semasa di dunia, sentiasa dipenuhi dengan amalan-amalan yang murni dan suci, mereka akan menghadapi hari akhirat itu dengan tenang dan tenteram sekali. Ada di antara mereka yang merasakan hari akhirat itu terlalu singkat, seperti berlalunya waktu Zohor menanti waktu Asar.

Terdapat 7 golongan manusia yang diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T di hari akhirat, yang akan kami kongsikan kelak. Insyaallah.

Diriwayatkan bahawa pada hari akhirat nanti, seluruh manusia dan sekalian mahkluk akan mendengar bagaimana teruk dan seksanya berbagai bentuk azab dan pembalasan yang dijatuhkan ke atas mereka yang derkaha kepada Allah S.W.T.

Setelah beberapa lama terdampar di suatu bumi yang aneh dan amat luar biasa, lalu seluruh manusia dan makhluk kemudiannya dihalau oleh para malaikat menuju ke Padang Mahsyar. Di padang inilah manusia dihimpunkan untuk menghadapi saat paling genting bila mana mereka akan dihisab tentang amalan-amalan baik dan juga amalan-amalan keji semasa hidup di dunia.


Gambar Hiasan. Pada hari itu, sesaat dirasakan bagai sehari dan sehari pula bagaikan setahun lamanya.


Setiap dari hamba Allah itu akan ditanya tentang 4 perkara utama, iaitu;
  • Bagaimana umur mereka semasa hidup di dunia dulu dihabiskan? Sama ada dihabiskan dengan mengerjakan perkara-perkara baik atau sebaliknya.
  • Bagaimana tubuh badan mereka dan tenaga mereka digunakan semasa hidup di dunia dulu? Adakah untuk melakukan kebaikan atau maksiat.
  • Tentang ilmu mereka, apakah ia daripada ilmu yang baik atau ilmu yang jahat dan bagaimana pula ilmu itu diamalkan atau disebarkan?
  • Tentang harta yang mereka miliki semasa di dunia dulu. Apakah ia dari harta yang halal atau haram, dan apakah ia dibelanjakan ke arah kebaikan atau kejahatan?

Wallahualam..

7 kata-kata bijak dari Pahlawan Terulung Islam, 
Shalahuddin Al-Ayubi.


Sekian dari saya. Assalamualaikum w.b.t

Sumber : Himpunan Kisah-Kisah Teladan, Syarikat Nurulhas

Sebarkan Ilmu, Walau Sedikit..
Sebarkan Ilmu, Untuk Saham Akhirat!

9 September 2014

Kisah Rasulullah Menjadi Halimunan

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W mengumpulkan kaumnya dan baginda berkata, "Aku adalah utusan Allah kepada kamu sekalian untuk menyampaikan berita bahawa seksa Allah itu amat pedih, oleh itu selamatkan dirimu dan keluargamu dari api neraka Jahannam. Oleh itu hendaklah kamu semua menyembah Allah S.W.T."

Abu Lahab yang turut ada dalam perhimpunan itu sangat marah pada Rasulullah S.A.W dengan berkata, "Celaka kau hai Muhammad, untuk inikah kau menjemput kami ke sini?" Abu Lahab berkata lagi, "Tangkap Muhammad ini sebelum orang lain menangkapnya."


Mari mengenal salasilah keluarga Rasulullah


Kelakuan Abu Lahab sudah melampaui batas, tidak seperti kaum kerabat yang lain, mereka bersifat tenang dan sabar. Sehubungan dengan perbuatan Abu Lahab itu, lalu Allah S.W.T menurunkan Surah Al-Masad;



Mari membaca dan fahami maksudnya

  1. "Binasalah kedua tangan Abu Lahab sesungguhnya dia telah binasa."
  2. "Tidak ada faedah baginya akan harta bendanya dan segala perkara yang telah diusahakannya."
  3. "Dia akan dimasukkan ke dalam api neraka yang bernyala-nyala."
  4. "Dan begitu juga isterinya, sebagai pembawa kayu bakar."
  5. "Yang dilehernya terdapat tali dan ijuk."

Ayat ini tersebar ke seluruh kota Mekah, apabila berita ini sampai ke telinga Ummu Jamil (isteri Abu Lahab), dia melenting kemarahan kerana dia dan suaminya telah dihina oleh ayat tersebut. Bertambah marah Ummu Jamil apabila dirinya digelar Hammalatul Hatab (Pembawa kayu bakar).

Dengan membawa beberapa ketul batu Ummu Jamil pergi mencari Rasulullah S.A.W. Tetapi Allah Maha Kuasa, ketika itu juga Allah memadamkan pandangan Ummu Jamil terhadap Rasulullah S.A.W. Dia tidak dapat melihat Rasulullah malah dia hanya dapat melihat Abu Bakar sahaja dan dia menyangka Rasulullah telah menyelamatkan diri.

Gambar hiasan

Oleh kerana terlalu geram, Ummu Jamil terus menghampiri Abu Bakar dengan berkata, "Hai Abu Bakar, mana kawan kamu itu?" Abu Bakar tidak menjawab pertanyaan Ummu Jamil itu, tetapi beliau hanya mendiamkan diri sahaja. Ummu Jamil berkata lagi, "Aku dengar dia telah merendah-rendahkan aku dan suamiku dengan kata-katanya. Awas, kalau aku jumpa dia, akan aku baling dengan batu-batu ini." Abu Bakar hanya berdiam diri, sementara wanita yang separuh gila itu memaki hamun baginda Rasulullah. Ummu Jamil bersyair bagaikan orang gila:

  • "Hai, dia (Muhammad) marah, disebabkan dia (Abu Lahab) tidak mengikut cakap dia." 
  • "Dia marah, kerana kita tolak ajakannya."
  • "Kita abaikan ajakannya dan ajarannya kita tidak akan terima"

Setelah puas Ummu Jamil memaki hamun dan bersyair, akhirnya dia pun pulang. Dia sentiasa membawa beberapa ketul batu di tangan dengan tujuan, kalau-kalau dia bertemu Rasulullah, dia akan melemparkannya. Setelah Ummu Jamil meninggalkan tempat tersebut, Abu Bakar pun bertanya kepada Rasulullah S.A.W, yang dari tadi sedang duduk di hadapannya, "Ya Rasulullah, bukankah wanita itu melihat tuan?"

Rasulullah menjawab, "Tidak, wanita itu tidak dapat melihatku kerana Allah telah memadamkan penglihatannya daripada melihatku."

Sekian dari saya, Assalamualaikum w.b.t

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat.

8 September 2014

Kisah Asal Usul Hajar Aswad

Assalamualaikum w.b.t - Bismilahirahmanirahim

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung.

Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahhim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah.

Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia".

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu si sebuah bukit, tiba-tiba datang Malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, baginda menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kau dapat batu ini?" Nabi Ismail menjawab, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibrail)."


Hajar al Aswad

Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti dengan Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang hajar aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium hajar aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium hajar aswad itu, yang tidak mencium cukup lah dengan memberikan isyarat lambaian sahaja. 

Ada riwayat mengatakan bahawa dulunya batu hajar aswad itu putih bersih tetapi, akibat dari dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti yang terdapat sekarang. Wallahualam.

Apabila manusia mencium batu itu maka, timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, hajar aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah disana, insyaallah doanya akan dikabulkan oleh Allah. Jagalah hati kita sewaktu mencium hajar aswad supaya tidak menyekutukan Allah, sebab tipu daya syaitan kuat di tanah suci Mekah.



Semoga kita diberikan kesempatan dan keizinan dari Allah S.W.T agar mendapat peluang mencium Hajar al Aswad. Insyaallah. Amin.


Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (hajar aswad), "Aku tahu, sesungguhnya engkau (Hajar Aswad) hanyalah batu biasa sahaja. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah S.A.W menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya (mencium Hajar Aswad).



Suatu hari nanti..Insyaallah


Assalamualaikum w.b.t

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat!

7 September 2014

Azab Bagi Mengabaikan Mandi Junub

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Dalam sebuah riwayat menceritakan pada masa dahulu, ada seorang lelaki sangat alim lagi warak. Lelaki itu menceritakan tentang suatu kejadian ngeri yang dihadapi oleh seorang lelaki yang tinggal sekampung dengannya ketika menemui maut.

Setelah dikapankan dan disembahyangkan, jenazah lelaki itu pun dibawa ke tanah perkuburan untuk disempurnakan pengebumiannya. Semasa jenazah itu sampai ke tanah perkuburan, keadaan dan suasana di situ begitu sepi sekali. Manakala liang lahadnya sudah sedia menanti di depan untuk dikebumikan jenazahnya.

Kemudian kaum kerabatnya dan sahabat handai lelaki berkenaan menurunkan keranda mayatnya perlahan-lahan ke dalam liang lahadnya tersebut. Sebaik sahaja mereka hendak meletakkan jenazah itu, tiba-tiba mereka terperanjat apabila melihat seekor binatang yang sama bentuknya seperti kucing sudah berada di dalam kubur itu.

Apabila melihat binatang berkenaan, semua jemaah yang turut menghantar jenazah lelaki tersebut ke perkuburan terperanjat dan tercengang. Selama ini tidak pernah berlaku kejadian seekor binatang sudah menunggu di dalam liang lahad ketika mayat hendak dikebumikan di perkampungan mereka.

Beberapa orang dari kaum kerabat si mati itu cuba menghalau binatang tersebut dari liang lahad itu, tetapi binatang itu tetap memakukan dirinya di dalam kubur itu. Rupa binatang itu terlalu bengis dan gerun, kukunya yang tajam mencakar-cakar batang kayu yang dijolok ke arahnya oleh orang-orang yang cuba untuk menghalaunya keluar dari lubang yang siap ternganga itu.



Gambar Hiasan.


Namun binatang itu tetap berdegil, terus bertahan di dalam lubang kubur itu. Akhirnya kaum kerabat si mati terpaksa mengambil keputusan untuk menggali satu liang lahad yang baru bagi mengelakkan jenazah lelaki tersebut dari disemadikan bersama binatang ganjil itu.

Setelah siap digali dan ketika keranda mayat hendak diturunkan, para jemaah yang menghantar tersebut sekali lagi terkejut apabila melihat binatang ganjil itu sudah pun berada di dalam liang lahad itu. Kehadiran binatang itu benar-benar menghairankan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka. Sekali lagi mereka cuba mengusir binatang itu tetapi tidak membuahkan hasil. Akhirnya mereka mengambil keputusan muktamad, untuk mengebumikan juga jasad si mati itu bersama-sama binatang ganjil itu.

Sebaik sahaja tanah ditimbus menutupi liang lahad itu, para jemaah yang ada di sekitar itu menjadi lebih terkejut. Lebih terkejut dari yang sebelum ini. Mereka terkejut kerana mendengar bunyi seakan-akan daging dan tulang jasad yang mati itu sedang dicakar dan dipatahkan oleh seekor binatang yang buas, bunyinya masyaallah, sangat mengerikan dan menakutkan sehingga mereka yang ada di sekitar itu menggeletar ketakutan.



Gambar Hiasan.


Kejadian yang berlaku itu sememangnya menimbulkan tanda tanya dikalangan mereka yang hadir di tanah perkuburan itu. Lalu seorang lelaki alim tampil menemui isteri kepada si mati dan bertanya tentang sesuatu amalan buruk yang mungkin pernah dilakukan oleh suami wanita itu.

Lalu wanita itu memberitahu, bahawa suaminya merupakan seorang lelaki yang baik budi pekertinya, tetapi di sepanjang perkahwinan mereka, suaminya itu tidak pernah mensucikan dirinya dengan melakukan mandi junub setiap kali mereka melakukan persetubuhan. Wallahualam.






Oleh itu, saudara dan saudari sekalian, mandi junub adalah ibadah yang WAJIB. Ia adalah perkara fardhu ain yang setiap muslim wajib lakukan untuk mensucikan diri daripada hadas besar. Ia bukanlah fardhu kifayah yang mana boleh mewakilkan orang lain untuk melakukannya untuk kita. Subhanallah. Jadi pengajarannya, kita perlulah belajar cara-cara mandi wajib itu. Sebaik-baiknya kita melakukan mandi wajib itu mengikut sunnah Rasulullah supaya ibadah yang dilakukan itu lebih cantik dan insyaallah sempurna.

Sekian dari saya. Segala info ini adalah untuk peringatan kepada diri saya dan semua. Segala yang baik itu datang dari Allah S.W.T dan segala yang buruk itu datang dari saya.

Assalamualaikum w.b.t

Sumber : Himpunan Kisah-Kisah Teladan, Syarikat Nurulhas.

Sebarkan Ilmu, Walau Sedikit, Untuk Saham Akhirat !

5 September 2014

Kisah Berkat Di Sebalik Membaca Bismillah

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim


Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu selalu membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali hendak memulakan sesuatu, sentiasa didahulukan dengan Bismillah. Suaminya pula tidak suka akan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata, "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu!"

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit itu ke dalam perigi di belakang rumahnya.



Gambar hiasan.


Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dan dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu. Dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahim". Ketika itu Allah S.W.T menghantar malaikat Jibrail a.s untuk mengembalikan beg itu dan menyerahkan duit itu di tempat asalnya agar perempuan itu dapat menyerahkannya kembali kepada suaminya.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga mengamalkan membaca Bismillah apabila hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Wallahualam.  

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Adalah Jibril apabila datang kepadaku, yang pertama diberikannya kepadaku ialah Bismillaahir rahmaanir rahiim.” (Darulquthni dan Ibnu Umar r.a. )




Ya, Memang mudah untuk menyebutnya. Tapi berapa ramai je diantara kita yang mengamalkannya. Pesanan itu untuk diri saya dan juga para pembaca sekalian. Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan dan memudahkan di atas setiap pekerjaan yang kita lakukan. Insyaallah.  



Jadi, di manakah kedudukan kita?



Antara sifat-sifat munafik yang kita perlu tahu. Lihat semula diri kita. Adakah ciri-ciri tersebut ada pada diri kita. Naudzubillah Min Dzalik.


Assalamualaikum w.b.t

2 September 2014

Kisah Malaikat Harut dan Marut Mengajar Sihir Kepada Manusia

Sejak Bilakah Bermulanya Sihir? Apakah Asal Usul Terjadinya Sihir? 



Bagaimana sihir boleh wujud di dunia ini?



"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan Mengikut ajaran- ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut,di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,kalaulah mereka mengetahui". (Al-Baqarah, Ayat 102)


Untuk memberitahu pengetahuan sebenar tentang sihir kepada manusia, Allah SWT mengutuskan dua Malaikat iaitu, Malaikat Harut dan Marut di negeri Babil (Babylon). Kedua malaikat itu mendedahkan dan mengajarkan kepada manusia tentang teori ilmu sihir.

Apakah gunanya manusia diajar teori ilmu sihir?


  • Untuk menentang keburukan-keburukan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir yang menjadi kawan jin dan mendakwa dirinya nabi.
  • Untuk memberi penerangan kepada manusia tentang perbezaan antara mukjizat dan ilmu sihir. Sihir dapat dipelajari dan boleh digunakan pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh tukang sihir manakala mukjizat tidak dapat dipelajari dan tidak boleh dijadikan bahan tontonan seperti sihir.
  • Untuk memberi penerangan pada manusia bahawa sebenarnya sihir tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan izin Allah SWT.

Dengan tujuan itu Harut dan Marut diutuskan untuk memperkenalkan ilmu sihir kepada manusia, untuk menentang tukang-tukang sihir yang menjadi lumrah pada zaman tersebut. Antara sihir yang diajar oleh Harut dan Marut kepada manusia adalah sihir yang boleh memisahkan antara suami dan isteri. Tujuan kedua-dua malaikat ini adalah untuk menunjukkan betapa sihir itu menuju ke jalan kekufuran Maka sebelum memulakan tugasnya mengajar ilmu sihir, kedua malaikat itu telah berkata kepada manusia, "Sesungguhnya kami hanyalah cubaan bagimu, sebab itu janganlah kamu kafir". Maksudnya sesiapa yang mempelajari ilmu sihir untuk mencapai keinginan dan kehendaknya ataupun menyakiti seseorang, maka dia telah menjadi kafir.

Malangnya sebahagian daripada murid-murid yang diajar oleh Harut dan Marut tidak mengikuti arahan mereka sebaliknya mempergunakan ilmu itu untuk menceraikan pasangan suami isteri dan lain-lain lagi angkara hasutan syaitan dan iblis laknatullah.




Antara tanda-tanda orang yang terkena sihir ialah sakit pada tulang empat keratnya. Apa itu tulang empat kerat? Iaitu leher, pinggang, lutut, dan buku laki. Sebab itu lah orang yang terkena sihir susah benar untuk mendirikan solat. Asal solat sahaja, sakit-sakit badan. Berwaspadalah dengan sihir laknatullah !



Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa siapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual diri dengan sihir, sekiranya mereka mengetahui" - Surah Al-Baqarah, Ayat 102.

Diriwayat oleh Abu Musa al-Asy'ari r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak akan masuk syurga penagih khamar juga tidak akan masuk syurga orang yang percaya kepada sihir sebagaimana halnya tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim".



Sihir yang paling banyak berlaku ialah Sihir Pemisah yang memutuskan hubungan suami isteri. Yang sayang bertukar benci. Yang benci menjadi sayang. Astaghfirullah. Nauzdubillah Min Dzalik.


Maka itulah sebabnya Allah mengutuskan malaikat untuk mengajar ilmu sihir kepada manusia, dan pada waktu yang sama Harut dan Marut telah memperingatkan orang yang belajar kepada keduanya, bahawa ilmu itu (sihir) adalah satu fitnah yang menjerumuskan manusia kepada kekafiran.

"Dan mereka itu (para tukang sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah" (Al-Baqarah; 102)

Wallahualam.


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.


  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.




Free Mason adalah pengamal SIHIR laknatullah yang TERBESAR di dunia ini ! Bagaimana Free Mason ini boleh muncul? Apakah sejarahnya? Apakah matlamat pertubuhan ini?

1 September 2014

Jaminan Para Malaikat Untuk Orang Yang Berselawat

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibrail, Mikail, Israfil, dan Izrail a.s telah berkata kepadaku.

Berkata Jibril a.s, "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak 10 kali, maka akan aku bimbing tangannya dan akan aku bawa dia melintasi titian seperti kilat".

Berkata pula Mikail a.s, "Mereka yang berselawat keatasmu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu".

Berkata Israfil a.s, "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T, dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu".

Malaikat Izrail a.s pula berkata, "Bagi mereka yang berselawat keatasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi-nabi".

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W? Para malaikat sendiri telah memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Dengan kisah ini, saya harap kita semua termasuk diri saya tidak akan melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah s.w.t, Rasululullah s.a.w dan para Malaikat.



Cara-Cara Berselawat 

Cara selawat amat mudah. Kita selalu selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan juga Nabi Ibrahim AS semasa bacaan tahiyat akhir. Perkataan ‘SAW’ juga adalah selawat ke atas nabi kita.
SAW = sallallahu alaihi wasalam, bermaksud: Allah sejahteralah keatasnya.
Selawat rumi ringkas adalah : Allahumma solli ‘ala muhammad, wa ‘ala ali muhammad, bermaksud: Allah selawatkanlah ke atas Muhammad, dan ahli keluarga muhammad
Atau: Allahumma solli ‘ala muhammad, wa ‘ala ali wasalam, bermaksud: Allah selawatkanlah ke atas Muhammad, dan ahli keluarga dan kesejahteraannya.
Atau: Allahumma solli ‘ala muhammad, wa ‘ala ali wasohbihi wasalam, bermaksud: Allah selawatkanlah ke atas Muhammad, dan ahli keluarga dan sahabatnya dan kesejahteraannya.
Sesungguhnya selawat keatas Nabi Muhammad, keluarganya, dan sahabatnya amatlah dituntut. Keluarga dan sahabat baginda Rasulullah SAW turut bersama-sama berjuang dalam menegakkan syiar Islam. Maka, kita yang lahir sahaja sudah Islam kerana ibu dan bapa kita islam, eloklah kita perbanyakkan selawat keatas baginda Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda.




Selawatlah ke atas Nabi Muhammad s.a.w.


Amalkan selawat syifa selepas selesai solat. Selepas baca urut kedua-dua belah mata. Insyaallah jika diamalkan secara istiqamah, akan hilang penyakit rabun, dengan izin Allah.


Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Assalamualaikum w.b.t

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat!

30 August 2014

Nabi Ibrahim Contoh Ikutan Manusia

Beberapa Sifat Nabi Ibrahim Yang Wajar Dicontohi Oleh Semua Manusia.


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
 بسم الله الرحمن الرحيم 


ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud;

"Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah suruhan dan larangan, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam Pemimpin ikutan bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "Ya Tuhanku! Jadikanlah jua dari keturunanku pemimpin-pemimpin ikutan". Allah berfirman: "Permohonanmu diterima, tetapi janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."


Gambar sekadar hiasan


1.  Sentiasa Mencari Kebenaran

  • Nabi Ibrahim a.s mencari kebenaran dengan berusaha mengenal Tuhannya. Ilmu menjadi asas yang penting dalam mencari kebenaran. Maka menuntut ilmu untuk mengenal Allah adalah sebesar-besar kewajiban.

2.  Melaksanakan Perintah Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s telah melaksanakan semua perintah Allah SWT kepadanya termasuk perintah berdakwah kepada keluarga dan pemerintah,  meninggalkan anak dan isteri di padang pasir dan menyembelih anaknya, Ismail a.s. Setiap manusia sepatutnya mentaati segala perintah Allah SWT tanpa berasa ragu dan curiga.

3.  Berjuang Menegakkan Syariat Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s terpaksa berhadapan dengan ayahnya, Azar yang membuat berhala, masyarakatnya yang menyembah berhala dan Raja Namrud yang mengaku dirinya Tuhan. Tujuannya supaya syariat Allah SWT disampaikan kepada mereka untuk ditegakkan. Bekerja untuk menegakkan syariat Allah SWT adalah penerusan kerja nabi-nabi a.s.

4.  Berkorban Untuk Mendekati Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s telah mengorbankan semua kepentingan diri termasuk isteri dan anak-anaknya demi ketaatan kepada Allah SWT.

5.  Berjihad Menentang Syaitan
  • Nabi Ibrahim a.s menyedari syaitan sama ada yang dikenali atau tidak dikenali adalah mengajak manusia menjauhkan diri daripada Allah SWT. Lantaran itu baginda merejam segala syaitan dan pengikutnya.


"Barangsiapa yang meniti satu jalan untuk mencari Ilmu, maka Allah memudahkan untuknya jalan menuju ke Syurga" - Hadis Riwayat Muslim


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.

  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t.

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat

Datang Lagi Ya..Assalamualaikum

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger