Subcribe to our RSS feeds Join Us on Facebook Follow us on Twitter Add to Circles

Klik! Sebagai tanda SOKONGAN!

Jobdirumah

31 August 2014

Hadis Tentang Rukun Islam



Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab r.a beliau berkata: 

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Islam itu terbina atas lima perkara. Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan 
Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan."
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim)



Pokok Perbincangan Hadis;

1.  Binaan Islam:

  • Islam adalah sebagai penyelamat yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran dan melayakkannya masuk syurga serta jauh dari neraka.
  • Struktur binaan Islam juga kemas dan kukuh dengan asas-asas dan cabang-cabangnya.



2.  Ikatan Antara Rukun-Rukun Islam:

  • Akan sempurna iman bagi orang yang menerimanya sepenuhnya.
  • Tetapi, bagi orang yang menolak semua Rukun Islam, hukumnya kafir.
  • Sesiapa yang ingkar salah satu dari Rukun Islam, hukumnya Bukan Muslim (menurut Ijma')
  • Sesiapa yang menerimanya tetapi malas untuk melaksanakannya (kecuali syahadah), hukumnya Fasiq.
  • Sesiapa yang melakukannya dan iqrar secara berpura-pura, hukumnya Munafiq.



 3.  Matlamat Ibadat:

  • Mengucapkan Syahadah - Adalah syarat untuk diterimanya amalan-amalan lain. Sekiranya berbuat baik sekali pun, tetapi tidak Islam, maka tidak dikira amalannya. Subhanallah. Beruntung kita orang Islam.
  • Solat - Adalah penghubung di antara hamba dengan Tuhannya, iaitu Allah S.W.T. Solat juga adalah perkara pertama yang akan dihisab kelak. Jadi, bagaimana dengan solat kita? Takkan hanya buat yang fardhu sahaja..
  • Puasa - Adalah untuk mengekang nafsu syahwat, serta dapat menghindarkan maksiat.
  • Zakat - Adalah untuk menyuburkan harta disamping dapat menyucikan diri serta mendapat keberkatan rezeki yang diberi oleh Allah S.W.T.
  • Haji - Tidak harus bagi orang yang berkemampuan untuk itu, untuk melewatkan pemergiannya. Jadi orang tersebut wajib menyegerakan haji beliau. Insyaallah. Haji Mabrur adalah sebaik-baik jihad.



Sumber: Hadis 40, Imam Nawawi (Hadis ke-3)

30 August 2014

Cara Syaitan Mencabut Iman !

Kedatangan Syaitan Ketika Sakaratul Maut


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
 بسم الله الرحمن الرحيم 

Disebutkan dalam satu hadis, Ketika seseorang sedang dicabut nyawanya, maka datanglah syaitan duduk di sisi kepala orang itu, lalu berkata, "Tinggalkan agama ini, katakan bahawa Tuhan itu ada dua, sehingga kamu selamat dari kesakitan". Jika terjadinya peristiwa seperti ini, merupakan bahaya yang sangat mengerikan dan menakutkan. Kerana itu, hendaklah kamu menangis dan merendah diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan solat malam dan berzikir kepada-Nya, agar selamat dari seksaan Allah.

Abu Hanifah  pernah ditanya, "Dosa apakah yang dikhuatirkan dapat melepaskan keimanan seseorang?". Abu Hanifah menjawab, iaitu pertama, meninggalkan rasa syukur atas diberinya iman, kedua, tidak merasa takut kepada Allah di akhir umurnya, dan ketiga, suka menganiaya seseorang. Kebanyakan orang yang mempunyai tiga perkara ini di dalam hatinya, ia keluar dari dunia dalam keadaan kafir, kecuali orang-orang yang mendapat hidayah.

Dikatakan bahawa seksaan yang paling pedih terhadap seseorang menjelang ajalnya adalah orang itu berasa sangat haus ibarat hatinya sedang terbakar. Pada waktu itu, datang syaitan yang ingin mengambil kesempatan untuk mencabut keimanannya, kerana mereka berasa sangat haus. Syaitan lalu datang di sisi kepalanya dengan membawa semangkuk air, kemudian menggerak-gerakkan mangkuk tersebut di hadapan orang mukmin tadi.

Lalu orang mukmin itu berkata, "Berilah aku air". Dia tidak mengetahui bahawa yang membawa semangkuk air itu adalah syaitan. Syaitan kemudian berkata kepada mukmin tadi, "Katakan, bahawa tidak ada yang menciptakan alam ini. Setelah itu, aku akan berikan air ini kepadamu". Jika orang itu dalam keberuntungan maka dia tidak akan menjawab sedikit pun dari permintaan syaitan yang menyesatkan itu.

Syaitan datang lagi dari arah kedua tapak kakinya dengan menggerak-gerakkan mangkuk yang berisi air pada orang mukmin. Orang mukmin itu berkata, "Berilah aku air". Syaitan menjawab, "Katakan dulu, bahawa Rasul itu pembohong. Setelah itu air ini akan aku berikan kepadamu". Barang siapa yang celaka, dia akan menjawab perintah sesat dari syaitan tersebut, kerana tidak tahan dengan kehausannya. Akhirnya keluarlah dia dari dunia ini dalam keadaan kafir. Na'udzu Billah Min Dzalik. Sebaliknya barangsiapa yang beruntung, dia tidak akan menjawab sedikit pun dari permintaan syaitan yang menyesatkan itu.

Manshur bin Ammar berkata, "Apabila telah dekat kematian seseorang hamba, maka dirinya dibahagi menjadi 5 bahagian, iaitu;

  1. Hartanya akan berikan kepada waris-warisnya.
  2. Ruhnya untuk Malaikat Maut.
  3. Dagingnya untuk makanan ulat, dan tulangnya untuk tanah.
  4. Kebaikannya untuk musuhnya.
  5. Syaitan untuk mencabut imannya.


Syaitan vs Iman : Mampukah iman kita menolak segala perintah sesat syaitan ketika ajal nanti? Kerana yang menjawab nanti bukan dari lidah, tetapi dari iman kita. Jadi, tepuk dada tanya IMAN !

(Sumber : 30 Peristiwa Besar Dari Alam Kubur - Abu Mustaqim Al-Qadli)

Assalamualaikum w.b.t.

Nabi Ibrahim Contoh Ikutan Manusia

Beberapa Sifat Nabi Ibrahim Yang Wajar Dicontohi Oleh Semua Manusia.


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
 بسم الله الرحمن الرحيم 


ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud;

"Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah suruhan dan larangan, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam Pemimpin ikutan bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "Ya Tuhanku! Jadikanlah jua dari keturunanku pemimpin-pemimpin ikutan". Allah berfirman: "Permohonanmu diterima, tetapi janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."


Gambar sekadar hiasan


1.  Sentiasa Mencari Kebenaran

  • Nabi Ibrahim a.s mencari kebenaran dengan berusaha mengenal Tuhannya. Ilmu menjadi asas yang penting dalam mencari kebenaran. Maka menuntut ilmu untuk mengenal Allah adalah sebesar-besar kewajiban.

2.  Melaksanakan Perintah Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s telah melaksanakan semua perintah Allah SWT kepadanya termasuk perintah berdakwah kepada keluarga dan pemerintah,  meninggalkan anak dan isteri di padang pasir dan menyembelih anaknya, Ismail a.s. Setiap manusia sepatutnya mentaati segala perintah Allah SWT tanpa berasa ragu dan curiga.

3.  Berjuang Menegakkan Syariat Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s terpaksa berhadapan dengan ayahnya, Azar yang membuat berhala, masyarakatnya yang menyembah berhala dan Raja Namrud yang mengaku dirinya Tuhan. Tujuannya supaya syariat Allah SWT disampaikan kepada mereka untuk ditegakkan. Bekerja untuk menegakkan syariat Allah SWT adalah penerusan kerja nabi-nabi a.s.

4.  Berkorban Untuk Mendekati Allah SWT
  • Nabi Ibrahim a.s telah mengorbankan semua kepentingan diri termasuk isteri dan anak-anaknya demi ketaatan kepada Allah SWT.

5.  Berjihad Menentang Syaitan
  • Nabi Ibrahim a.s menyedari syaitan sama ada yang dikenali atau tidak dikenali adalah mengajak manusia menjauhkan diri daripada Allah SWT. Lantaran itu baginda merejam segala syaitan dan pengikutnya.


"Barangsiapa yang meniti satu jalan untuk mencari Ilmu, maka Allah memudahkan untuknya jalan menuju ke Syurga" - Hadis Riwayat Muslim


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.

  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t.

29 August 2014

Sedekah RM 1 Lebih Baik Dari RM 5 ?

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu lalai dengan hartamu dan anak-anakmu hingga kamu tidak mengingat Allah. Barang siapa yang berbuat demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi. Belanjakanlah sebahagian daripada apa yang kami berikan kepadamu sebelum datangnya kematian kepada salah seorang antara kamu. Pada waktu itu, manusia bertanya kepada Tuhannya, "Ya Allah, mengapa engkau tidak menangguhkan kematianku supaya aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh?" Allah sekali-kali tidak menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah Al Munafikun, Ayat 9-11

Apakah sebenarnya yang ramai orang cari, suka, ingin, dan idam-idamkan? Jawapannya apa lagi jika bukan harta, kekayaan, kedudukan, jawatan, dan seumpamanya. Desakan yang besar dalam sifat manusia adalah hasrat untuk menjadi orang yang penting. Semakin orang mengganggap kita penting, semakin kita dihormati dan dipuji. Seterusnya semakin tinggi harga atau nilai kita. Semua orang cenderung untuk membela dan mempertahankan harga dirinya. Sekiranya orang itu berada dalam keadaan bersalah, dia enggan mengakui kesalahannya bukan kerana dia tidak bersalah tetapi kerana mahu menjaga harga dirinya.





Saya tidak pernah dan tidak mahu mengatakan yang harga diri tidak penting. Harga diri memang penting. Tidak hanya pada diri kita, tetapi harga diri keluarga kita, harga diri sahabat kita, harga diri bangsa dan agama kita, semua ini penting. Mempertahankan harga diri adalah wajib. Tetapi kita tidak boleh mempertahankan harga diri dengan cara yang busuk dan penuh penipuan! 

Apa yang saya maksudkan dengan cara busuk dan penuh penipuan itu?


Ramai orang mengganggap sedekah adalah satu cara yang dapat mereka gunakan bagi menjaga dan mempertahankan harga diri mereka. Ini kerana dengan bersedekah, mereka berharap mendapat ucapan terima kasih, penghargaan, sanjungan, pujian, dan penghormatan. Apabila ada orang yang bersedekah, kemudian tidak mendapat ucapan terima kasih daripada orang yang menerima sedekah itu, orang yang bersedekah ini merasa harga dirinya tergugat. Apalagi apabila jika ada orang yang menghina, merendahkan dan memperlekehkannya. Mungkin selepas itu, dia tidak mahu lagi memberi sedekah!


Dalam Islam, sedekah itu wujud bagi menghentikan kecenderungan-kecenderungan hasrat bagi dipuji, dipuja, dihargai, dihormati, dan seumpamanya. Ironinya, ramai orang menggunakan sedekah bagi mendapatkan pujian dan penghargaan. Dengan itu, sebahagian daripada kita sudah lupa akan hakikat dan erti sedekah yang sejati iaitu cinta, belas kasihan, pertolongan, pemberian, kasih sayang, dan nilai-nilai murni lainnya.




Jadi sedekah RM 1 itu lebih baik dari RM 5 jika niat itu adalah kerana Allah. Betulkan niat kita sewaktu bersedekah walau RM 1. Rugi jika kita sedekah RM 10 pun, tetapi niat kerana ingin disanjung, dan diagung-agungkan oleh orang sekeliling. Rugi!!


Oleh itu marilah sama-sama kita memperbaiki niat kita setiap kali ingin memberi sedekah atau sebarang pertolongan kepada orang lain. Pastikan niat itu adalah kerana Allah Ta'ala. Insyaallah.


Assalamualaikum w.b.t


Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat!

28 August 2014

Para Malaikat Pengsan 1000 Tahun Selepas Melihat Malaikat Maut

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim


Dalam suatu hadis disebutkan, Ketika Allah mencipta Malaikat Maut, maka beberapa mahluk ditutupi dengan satu juta hijab, sedangkan besarnya hijab itu melebihi besarnya beberapa langit dan bumi. Kerana besarnya Malaikat Maut, seandainya seluruh air laut dan sungai itu ditumpahkan diatas kepala Malaikat Maut, maka air tersebut jatuh bagaikan setitis air dari Bumi. Sungguh besar Malaikat Maut! Tetapi kita mesti ingat bahawa Allah itu Maha Besar. Sesungguhnya bumi timur dan barat berada diantara dua tangannya.

Demikian itu, gambaran Malaikat Maut dalam membolak-balikkan dunia, seperti kita melambung-lambung syiling yang ada dihadapan kita. Malaikat Maut diikat dengan 70,000 rantai, setiap rantai panjangnya 1000 tahun perjalanan. Sedangkan para malaikat yang lain tidak dapat mendekati Malaikat Maut, kerana mereka tidak mengetahui tempatnya, tidak mendengar suaranya, tidak dapat melihat keadaannya, juga tidak mengetahui ke mana waktu ia pergi.

Ketika Allah mencipta Malaikat Maut, Allah memerintahkannya untuk mencabut myawa seluruh makhluk Allah. Malaikat Maut lalu berkata, "Wahai Tuhanku, apakah mati itu?". Allah lalu memerintahkan hijab untuk membuka diri sehingga Malaikat Maut dapat melihat mati. Setelah itu Allah Ta'ala berfirman pada para malaikat, "Mendekatlah kamu, dan lihatlah Malaikat Maut ini". Maka seluruh para malaikat itu mendekati. Allah Ta'ala kemudian berfirman kepada Malaikat Maut, "Terbanglah di atas mereka dan bentangkanlah sayapmu, serta bukalah seluruh matamu". Tatkala Malaikat Maut terbang dan para malaikat dapat melihat dirinya, maka para malaikat itu tersungkur dan pengsan lamanya 1000 tahun.

Tatkala para malaikat itu sudah sedar dari pengsannya, mereka berkata; "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau menciptakan mahluk yang besar ini?". Allah lalu menjawab, "Aku memang menciptakan dirinya sebagai makhluk yang besar, namun Aku tetap lebih besar dari dirinya, seluruh makhluk akan merasa mati darinya".  

Allah Ta'ala menciptakan Malaikat Maut daripada cahaya. Ia mempunyai 70,000 kaki dan mempunyai 4000 sayap, seluruh jasadnya dipenuhi dengan mata dan lisan. Tidak ada seorang pun dari anak Adam, termasuk setiap makhluk yang mempunyai nyawa kecuali dirinya berada dalam kekuasaan Malaikat Maut yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Subhanallah.



Seandainya seluruh air laut dan sungai itu ditumpahkan diatas kepala Malaikat Maut, maka air tersebut jatuh bagaikan setitis air dari Bumi !


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.

(Sumber: 30 Peristiwa Besar dari Alam Kubur - Abu Mustaqim Al-Qadli)

Assalamualaikum w.b.t

27 August 2014

3 Syarat Untuk Mendapat Karamah dari Allah

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


 بسم الله الرحمن الرحيم 


Mukjizat dan Karamah Kurniaan Allah

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang menyebut tentang Karamah, sabda Nabi; 


"Terdapat di kalangan umat-umat sebelum kamu orang-orang yang menerima ilham dari Allah. Andainya ada pada waktu ini orang seperti itu, maka dia dia adalah Umar Al Khattab."


Hadis ini menegaskan bahawa orang-orang yang layak menerima Ilham itu adalah mereka yang martabatnya seperti martabat Umar kerana Rasulullah sendiri tahu tentang kelebihan (Karamah) Umar.

Daripada kisah-kisah Nabi yang dikhabarkan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis-hadisnya dahulu. jelaslah kepada kita bahawa Karamah adalah perkara yang harus berlaku dari kurniaan allah kepada para Aulia-Nya. Wali ialah untuk seorang, Aulia pula untuk ramai. Wali bermaksud orang yang benar-benar hampir dengan Allah.

Oleh kerana para Aulia itu adalah orang-orang yang amat dikasihi oleh Allah, maka Karamah mereka tidak mungkin berlaku secara kebetulan, bahkan apa jua perbuatan yang dipandang luar biasa bagi orang awam, tidak mustahil sama sekali bagi para Aulia, kerana Karamah itu adalah kurniaan  Allah.

Menurut Imam Syatibiy, 'Ahlul Makfirat' ialah orang-orang yang hatinya bersih seperti cermin sehingga dengan hati itu mereka dapat melihat hal-hal yang ghaib. Dikatakan bahawa hati mereka 'bersinar dengan nur iman an nur yaqin'. Maka dengan kekuatan kadar imannya, hatinya dapat bermesra dengan hal-hal yang berada di belakang Hijab.

Oleh itu para ahli Sufi yang taqwa dan salih berkeyakinan bahawa segala riwayat mengenai Karamah para Aulia itu adalah wajib berlakunya, tidak mengelirukan dan sama sekali bukan cerita khayalan. Sebaliknya dikatakan bahawa siapa yang ingkar akan adanya Karamah, maka dia adalah antara Ahli Bidaah yang mungkin akan melalui kesudahan yang buruk (Suul Khatimah).


3 Syarat Utama Bagi Karamah

Dalam kitab "Taraiq Wattala'id" ditekankan bahawa kejadian Karamah itu mempunyai beberapa syarat. Syarat-syarat yang dianggap penting itu ialah;


  • Karamah hendaklah berlaku pada seorang yang salih dan baik iaitu yang menjunjung perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, baik zahir atau batin. 

  • Tidaklah Karamah itu sampai ke peringkat boleh 'melahirkan anak tanpa bapa', kerana orang yang dikurniakan Allah kebolehan itu hanya Siti Maryam r.a.

  • Jangan berlaku Karamah itu pada perkara yang diharamkan, sesudah haramnya itu disepakati oleh Ijmak Ulamak.


3 Perbezaan Utama Mukjizat dan Karamah

1. Mukjizat hendaklah disertai dengan pengakuan menjadi Nabi. Tetapi Karamah bagi para Wali tidak harus diikuti dengan dakwaan seperti itu, kecuali pengakuan itu dilakukan dalam keadaan darurat atau kerana sesuatu muslihat.


  • Misalnya, seorang Wali mungkin mengizinkan seseorang melakukan sesuatu yang dipintanya, maka berlakulah yang luar biasa dengan izinnya, atau melalui Karamahnya dia dapat menewaskan musuhnya, ketika tidak ada cara lain untuk mengalahkan musuhnya.

  • Karamah itu juga boleh berlaku dengan tujuan menguatkan keyakinan seorang murid (yang beramal dengan Tariqat Wali itu), tetapi tidak boleh ditunjukkan tanpa tujuan yang benar.


2. Mukjizat itu adalah sebagai bukti tentang kenabian seseorang Nabi secara pasti, kerana para Nabi diberitahu oleh Allah akan lantikannya itu.


  • Tetapi sebaliknya Karamah adalah perkara 'Zann' yang tidak diketahui secara pasti oleh orang yang memperolehinya. Bagaimanapun, Imam Al Qusyairi dan Imam Abu Ali Ad-Dadaq berkata sebahagian Wali tahu akan Karamah yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.


3. Menurut tahqiq Syarak, Mukjizat itu disuruh untuk diperlihatkan kepada orang lain, tetapi Karamah itu sebaliknya, harus dirahsiakan (kerana khuatir timbulnya fitnah).


  • Namun, andainya ada sebahagian Wali yang merasa perlu melahirkan Karamahnya kepada orang lain, maka hal itu dilakukan semata-mata  dengan izin atau kehendak Allah dengan tujuan tertentu.

  • Atau, Wali itu kadang-kadang perlu melahirkan Karamahnya untuk faedah agama, atau untuk memberi khabar berita gembira atau sebagai peringatan atau tarbiah kepada murid-muridnya atau orang-orang yang dikehendakinya.

Begitulah juga dengan mukjizat yang berlaku bukan pada setiap hari atau sebarang masa, tetapi pada keadaan tertentu sahaja.

Misalnya, Nabi Muhammad s.a.w. pernah memberi makan kepada lebih 1000 orang sahabat dan tentera, ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, cukup dengan segantang gandum sahaja. Kejadian ini adalah pernyataan Mukjizat di waktu perlu.

Namun Mukjizat seperti itu tidak berlaku dalam keadaan biasa, misalnya ketika ketiadaan makanan di rumah Nabi, hingga Nabi terpaksa mengikat perutnya dengan dua biji batu untuk mengurangkan rasa laparnya.

Mukjizat atau Karamah tidak boleh berlaku sepanjang masa bila sahaja dikehendaki oleh Nabi atau Wali. Jika perkara itu berlaku sepanjang masa, kejadiannya boleh menggoncangkan iman yang lemah hingga boleh memesongkan akidah (dengan kepercayaan bahawa manusia berkuasa melakukan apa sahaja tanpa pergantungan dari kuasa Allah) Allahuakbar!



Tok Kenali, tokoh ulama yang dikatakan sebagai Waliallah


Dari hadis Qudsi, Allah berfirman kepada Nabi Muhammad, 

 "Siapa yang menyakiti Wali-Ku, maka bererti dia telah mengumumkan perang terhadap-Ku" 


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.

  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.


(Sumber: Wali Allah, Mustaffa Suhaimi)


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

26 August 2014

4 Malaikat Yang Mulia - Fakta Tentang Saiz Malaikat

Assalamualaikum w.b.t - Bismillahirahmanirahim


Ketahuilah! Sesungguhnya Allah telah menciptakan 4 Malaikat yang mulia. Keempat-empat malaikat tersebut ialah; Israfil, Mikail, Jibril, dan Izrail. Allah menyerahkan ditangan malaikat itu untuk mengurus para mahkluk di seluruh alam ini. Lalu Allah menjadikan Malaikat Jibril sebagai Malaikat yang bertugas menurunkan wahyu kepada para nabi. Allah menjadikan Malaikat Mikail bertugas untuk menurunkan hujan dan rezeki. Allah menjadikan Malaikat Izrail bertugas mencabut nyawa para makhluk Allah. Dan menjadikan Malaikat Israfil bertugas meniup sangkakala (yang bentuknya seperti tanduk) pada hari kiamat nanti.


1. Malaikat Israfil
  • Dari Ibnu Abbas r.a berkata; Malaikat Israfil memohon kepada Allah agar dirinya diberi kekuatan supaya dapat membawa langit tujuh, maka Allah memberinya kekuatan hingga ia dapat membawa bumi dan langit tujuh, ia juga diberi kekuatan sehingga boleh menguasai angin, mencabut gunung, membawa dua beban yang berat, memegang segala binatang buas. Allah memberi Malaikat Israfil mulai dari bawah dunia ke telapak kakinya sampai kepalanya, sedangkan beberapa mulut dan lisannya ditutup dengan beberapa hijab. Lisannya selalu membaca tasbih kepada Allah dengan seribu bahasa. Allah Ta'ala menjadikan dari diri Malaikat Israfil 1000 malaikat yang sama membaca tasbih kepada Allah sehingga kiamat nanti
  • Bagi Malaikat yang membawa Arasy dan Malaikat Kiraman Katibin (malaikat yang menulis amal perbuatan), mereka semua bentuknya seperti Malaikat Israfil. Malaikat israfil ini setiap sehari semalam tiga kali melihat neraka. Ia merendahkan diri dan menangis sampai lemas, kerana lemasnya itu tubuhnya bagaikan tali tambur. Tangisan Israfil adalah tangisan yang sangat memilukan dan menyedihkan. Jika Allah tidak mencegah linangan air matanya, maka bumi ini akan penuh dengan air mata Israfil yang banyaknya bagaikan banjir taufan Nabi Nuh. Hal ini menunjukkan betapa besarnya bentuk Malaikat Israfil. Seandainya seluruh air laut dan sungai itu ditumpahkan diatas kepalanya, maka air tersebut jatuh bagaikan setitis air di bumi ! Subhanallah !


2. Malaikat Mikail
  • Adapun Malaikat Mikail, Allah menjadikan dirinya setelah Allah menciptakan Malaikat Israfil dalam jarak masa 500 tahun. Mulai dari kepalanya sampai kedua telapak kakinya ditumbuhi beberapa rambut dari za'faran, sayapnya dari zabarjab hijau. Pada setiap rambutnya ada satu juta wajah, pada setiap wajah ada satu juta mata. Menangisnya setiap mata itu adalah rahmat bagi orang-orang yang berbuat dosa dari kalangan orang-orang mukmin. Dalam setiap wajah ada satu juta mulut, dalam mulut ada satu juta lidah (lisan), setiap lisan mengucapkan satu juta bahasa, setiap lisan itu juga memohon ampunan pada Allah untuk orang-orang mukmin yang berbuat dosa. Setiap matanya menitiskan 70,000 titisan air mata. Maka Allah menjadikan pada setiap titisan itu satu malaikat yang menyerupai Mikail yang selalu membaca tasbih kepada Allah sampai hari kiamat. Mereka ini disebut Malaikat Karrubiyyun, malaikat inilah yang membantu Malaikat Mikail yang diserahi untuk mengatur turunnya hujan, tumbuh-tumbuhan dan rezeki, termasuk menumbuhkan buah-buahan.
  • Kerana itu, tidak ada sesuatu yang ada di laut dan di darat, termasuk buah-buahan yang melekat di pohon dan segala tumbuhan yang ada di permukaan bumi ini kecuali ada malaikat diserahi untuk menguruskannya.


3. Malaikat Jibril

  • Allah mencipta Malaikat Jibril setelah Allah menjadikan Malaikat Mikail dengan waktu 500 tahun. Malaikat Jibril ini mempunyai 600 sayap, mulai dari kepalanya sampai kedua telapak kakinya terdapat beberapa rambut dari za'faran, sedangkan matahari berada diantara dua matanya. Setiap rambutnya itu seperti bulan dan taburan matahari.
  • Setiap hari Jibril masuk ke dalam lautan cahaya sebanyak 370 kali, ketika ia keluar dari lautan cahaya maka menitislah pada setiap sayapnya itu, satu juta titisan. Lalu Allah menjadikan setiap titisan itu satu malaikat yang serupa dengan Malaikat Jibril yang selalu membaca tasbih pada Allah Ta'ala sampai hari Kiamat. Mereka itu adalah Malaikat Ruhaniyyun.

4. Malaikat Maut (Izrail)

  • Bentuk Malaikat Maut ini seperti Malaikat Israfil dalam bentuk wajahnya, termasuk beberapa lisannya, sayapnya, kebesarannya, dan kekuatannya tanpa menambah atau mengurangi sedikit pun.


Rukun Iman ke-2 : Beriman Kepada Malaikat


  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
  • Jika ada sebarang penambahan atau teguran, sila komen di bawah. Sekian Terima kasih.

Para Malaikat Pengsan 1000 tahun. Klik SINI

(Sumber: 30 Peristiwa Besar dari Alam Kubur - Abu Mustaqim Al Al-Qadli) 

25 August 2014

15 Seksaan Paling Dahsyat Bagi Orang Yang Tinggal Solat

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


 بسم الله الرحمن الرحيم 


Seksaan Dan Azab Bagi Orang Yang Melalaikan & Meninggalkan Solat

Sebagaimana kita semua maklumi dan menurut ajaran Islam bahawa solat lima waktu itu adalah kewajipan yang telah difardukan ke atas umat Islam. Adapun seksa dan azab bagi orang-orang yang melalaikan dan meninggalkan solat itu adalah sebagaimana menurut sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


"Barang siapa meringan-ringankan dan melalaikan akan solat 5 waktu 
yang difardukan, ia akan diseksa dan dibala oleh Allah 
dengan 15 macam seksa"




Solat Berjemaah walau di mana kita berada


Bahawasanya seksaan itu adalah, 6 seksa sewaktu di dunia iaitu sewaktu di masa hayatnya, 3 seksa sewaktu ia hampir menemui ajalnya, 3 seksa selama dikuburnya dan 3 seksa sewaktu berjumpa kelak dengan Allah.


6 Seksaan Di Dunia
  1. Hilang berkat umurnya iaitu hidupnya tidak bererti dan penuh dengan kekosongan, walaupun kelihatan hidupnya mewah, kemewahannya itu hanya istidraj belaka. 
  2. Hilang keberkatan rezekinya iaitu rezekinya terbuang kepada sia-sia belaka, walaupun ia kaya-raya, tetapi kekayaannya itu menjadi laknat baginya.
  3. Dihilangkan Allah s.w.t. tanda orang yang soleh pada mukanya.
  4. Tidak diakui ia masuk golongan Islam iaitu dia termasuk kepada golongan munafik, zahirnya sahaja Islam, tetapi batinnya adalah munafik).
  5. Segala amal baiknya yang dikerjakannya seperti sedekah dan lain-lainnya tidak memperolehi pahala.
  6. Doanya tidak diterima oleh Allah s.w.t. !!

3 Seksaan Sewaktu Hampir Menemui Ajal
  1. Matinya dalam kehinaan iaitu pencabutan ruhnya dengan semberono sahaja dan tidak ada belas kasihan.
  2. Matinya dalam keadaan kelaparan. Kelaparan yang dimaksudkan bukan kerana tidak ada makanan yang sedia ada, tetapi nafsunya sudah tidak ada lagi, perut lapar, tetapi tidak dapat makan sesuatu pun, kerana hebat dan sakitnya, sewaktu ruhnya akan keluar.
  3. Matinya juga dalam keadaan dahaga. Dahaga yang dimaksudkan ialah, sekiranya dituangkan dan diminumkan air yang ada di dunia ini ke dalam mulutnya, nescaya tidaklah memberi kesan pada dahagannya itu, kerana sakitnya penanggungan ketika sakaratul maut. Subhanallah.

3 Seksaan Di Dalam Kubur
  1. Kuburnya akan menjadi sempit.
  2. Digelapkan oleh Allah kuburnya.
  3. Allah memerintahkan beberapa malaikat yang akan menyeksa mayat sehingga hari kiamat dengan tiada henti-hentinya.
  • Ada riwayat yang menjelaskan bahawa kepada orang yang meninggalkan solatnya, Allah akan memerintahkan seekor ular besar iaitu "Suja'ul akra" menyeksa mayatnya.
  • Suja'ul akra ini membawa alat pemukul dari besi berat. Ia berkata kepada mayat itu dengan suaranya yang bagaikan halilintar, katanya; "Aku disuruh oleh Allah s.w.t untuk memukul engkau, sebab engkau meninggalkan fardu Subuh sehinggga Zuhur, kemudian dari Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib, dari Maghrib ke waktu Isya', dan dari Isya' hingga sampai waktu Subuh, lantas Suja'ul akra itu memukul si mayat, setiap kali dipukul lenyap tebenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta.

3 Seksaan Sewaktu Berjumpa Dengan Allah Kelak
  1. Datanglah satu malaikat yang menyeksanya, yang membawa seutas rantai yang panjang. rantai itu diikatkan ke leher orang yang meninggalkan solat itu seraya dimasukkan ke dalam mulutnya hingga keluar melalui duburnya. Dengan demikian ia ditarik-tarik dan disentap-sentapkan. Malaikat yang menyeksa itu berteriak "Inilah balasan bagi orang yang meninggalkan solat yang difardukan!".
  2. Allah tidak akan mengampuni atasnya dan bagi mereka yang meninggalkan solat itu, seksa dan azab yang hebat, pedih, dan menyeksakan!
  3. Ketika nanti sewaktu di hari berbangkit, Allah s.w.t tidak akan memberikan rahmat dan belas kasihan kepadanya.
Solat sunat sebelum Subuh itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya, Sabda Nabi.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Eksklusif ! Bila Izrail Datang Memanggil

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


 بسم الله الرحمن الرحيم 



Keadaan Apabila Sakaratul Maut - Ustaz Wadi Annuar

Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya seorang mukmin itu, apabila dia meninggalkan dunia, dan dia kembali kepada akhirat, maka turun kepadanya para Malaikat, muka-muka mereka putih bersih, seakan-akan wajah-wajah mereka matahari."

Maksudnya : Ketika seseorang mengalami sakaratul maut itu, maka banyak Malaikat yang akan turun kepadanya yang diketuai oleh Malaikat Maut. Jadi siapa yang akan melihat malaikat-malaikat ini ketika itu? Mereka yang hanya nampak ialah orang yang sedang nazak dan orang yang meninggal dunia itu, walaupun jasad mereka masih lagi di rumah ataupun di masjid.

Sabda Rasulullah s.a.w; "Akan turun malaikat dengan muka yang berseri-seri (jika roh itu baik). Malaikat yang datang dengan wajah yang berseri-seri itu datang membawa kafan dari syurga yang berwangi-wangian, dan bau wangian daripada Syurga. Seluruh makhluk akan baunya kecuali JIn dan Manusia." 

Orang yang sedang nazak itu, yang sedang terdampar di atas katil itu, akan melihat dari jauh malaikat sedang bersusun-susun datang kepadanya, yang mana kesemuanya dengan wajah yang berseri-seri seperti matahari yang sedang bersinar.

Kemudian Malaikat Maut datang kepadanya, dan duduk berhampiran di kepalanya. Lalu Malaikat Maut akan berkata kepada orang yang sedang nazak itu yang mana pada ketika itu kita yang hidup ini (saudara-mara) sedang mengelilingi si nazak itu, membacakan Yaasin. Jika seandainya kita nampak malaikat ketika itu, nescaya kita akan memberikan ruang kepada para-para malaikat sepertimana banyak hadis, yang mana Nabi pernah solat sehingga terpaksa menjengketkan kaki kerana ingin memberi ruang kepada para malaikat yang terlalu ramai. Ketika itu Nabi sedang solat jenazah kepada sahabatnya, merangkap jurutulisnya, iaitu Abu Hanzalah bin Ar Rabie.

Jadi apa yang Malaikat Maut katakan kepada si nazak itu? Kata Malaikat Maut; "Wahai ruh yang mulia. Keluarlah kamu daripada tubuh badan ini kepada pengampunan Allah dan redhaNya". Maka setelah itu, roh itu pun keluar daripada tubuhnya sepertimana air keluar daripada jug @ teko (jika roh soleh). Kemudian Malaikat Maut mengambil ruh itu dan meletakkan di tangannya, maka diserahkan pula ruh itu kepada Malaikat Rahmat untuk dibawakan roh itu ke langit.

Adakah ingatan kita ketika itu (selepas mati) masih yang sama? Atau adakah kita terus menjadi lupa tentang kehidupan ktia yang dulu, keluarga kita, malah nama kita sendiri? Jawapannya, TIDAK. Saidina Umar pernah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w; "Wahai Muhammad, semasa Malaikat datang, kemudian menarik nyawaku, kemudian membawaku ke atas langit, adakah aku tahu aku ini Umar". Kemudian Nabi Muhammad s.a.w menjawab; "Seperti kamu yang sekarang". Maksudnya, maklumat yang ada di dalam otak/akal kita nanti seperti kita yang sekarang. Tidak berubah. Subhanallah

Maka roh itu akan dibawa oleh sepasukan Malaikat Rahmat menuju ke langit pertama. Akan tetapi, pintu langit itu tertutup sama seperti sewaktu peristiwa Isra' Mikraj. Lalu Malaikat Rahmat memohon izin supaya pintu langit itu dibuka kerana bersama-samanya ada satu ruh. Maka dibuka pintu langit itu, lalu seluruh penghuni langit bertanya kepada Malaikat Rahmat; "Roh siapa ini yang wangi dan baik sangat ini?" (jika roh yang soleh). Lalu Malaikat Rahmat menjawab; "Roh Fulan bin Fulan", iaitu Malaikat Rahmat akan memanggil nama roh itu, dengan nama atau panggilan yang paling dia sukai sewaktu berada di dunia dahulu. Jika sewaktu di dunia dahulu dia suka dengan gelaran atau paggilan Dato'/Tan Sri atau sebagainya, maka dengan nama itulah yang malaikat akan seru kepada kita. Ataupun apa saja nama yang dia akan seronok bila orang memanggilnya. Maka dengan nama itulah dia dipanggil.


Begitulah juga seperti di langit kedua sehingga langit ketujuh. Setiap pintu langit itu tertutup dan Malaikat Rahmat akan memohon izin supaya dibuka. Lalu seluruh penghuni di setiap langit itu akan bertanya soalan yang sama dari langit pertama sampai langit ketujuh. Kemudian ruh itu dibawa mengadap Allah. Kemudian berkata Allah; "Tuliskan buku hambaku pada satu tempat yang bernama I'lliyyin". I'lliyyin ini adalah satu tempat untuk orang-orang yang soleh. Sijjin pula adalah satu tempat untuk orang-orang yang tidak soleh.


Kemudian Allah berkata lagi; "Kembalikan roh ini ke Bumi". Lalu roh itu akan dikembalikan semula ke Bumi kerana pada ketika ini, saat ini belum ada lagi manusia yang mendapat rahmat dari syurga mahupun yang mendapat azab dari neraka. "Habis tu roh para nabi, wali tu?" Mereka juga tidak berada lagi di syurga, bahkan roh Abu Jahal, Abu Lahab juga masih belum berada di neraka. Masing-masing sedang menikmati sama ada nikmat ataupun seksaan di alam barzakh. Subhanallah. 


Kemudian roh itu tadi dikembalikan semula kepada jasadnya. Kerana daripada Bumi-lah kita diciptakan, kemudian kepadanya juga Allah kembalikan kita (kubur), kemudian daripadanya jugalah Allah membangkitkan kita kembali. Selepas roh kembali kepada jasad, ketika itu jasad sudah berada di dalam kubur.


Begitulah serba sedikit tentang perkara-perkara yang akan berlaku ketika sakaratul maut nanti. Semua orang pasti akan mengalaminya. Cuma apa yang berbeza ialah bagaimana kita akan dilayan atau disambut nanti oleh malaikat-malaikat yang banyak bilangannya ketika itu. Jika kita tidak soleh dan tidak beriman kepada Allah, pasti kita akan mendapat azab yang sangat pedih ketika sakaratul maut itu. Nauzubilillahiminzalik (Moga dijauhkan Allah oleh perkara itu).  






السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


24 August 2014

Cara Bersedekah yang Salah yang Selalu Kita Buat



 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


 بسم الله الرحمن الرحيم 





Faktor-Faktor Sedekah Kita Menjadi Sia-Sia


A.     Daripada aspek agama, tidak diragukan lagi bahawa sedekah sememangnya memiliki manfaaat yang ampuh. Di dalam Quran, terdapat banyak ayat berkenaan sedekah yang dapat kita baca dan renungkan. Antaranya ialah;

"Sekiranya kamu memperlihatkan sedekahmu, perkara itu adalah baik. Sekiranya kamu bersedekah kepada orang fakir dan kamu menyembunyikannya, itulah yang lebih baik
lagi bagi kamu. Allah menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahanmu
dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Surah Al-Baqarah, ayat 271.





B.     Hadith yang dilaporkan oleh anas bin Malik, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud;

"Allah menciptakan Bumi, maka Bumi pun bergetar (bergegar). Lalu Allah menciptakan Gunung dengan kekuatan yang diberikan kepadanya, ternyata Bumi terdiam. Para Malaikat kehairanan dengan penciptaan Gunung itu. Mereka bertanya kepada Allah, "Wahai Allah, adakah sesuatu yang kamu cipta yang lebih kuat daripada Gunung?" Allah menjawab, "Ada, iaitu Besi. Para Malaikat bertanya lagi, "Wahai Allah, adakah sesuatu yang kamu cipta yang lebih kuat daripada Besi? Allah menjawab, "Ada, iaitu Air". Para Malaikat terus bertanya, "Wahai Allah, adakah sesuatu yang kamu cipta yang lebih kuat daripada air?". Allah pun menjawab, "Ada, iaitu Angin". Akhirnya, para Malaikat bertanya, "Wahai Allah, adakah sesuatu yang kamu cipta yang lebih kuat daripada semua itu?". Allah menjawab, "Ada, iaitu amalan anak-anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahui".




C.     Jadi, apakah cara bersedekah yang salah kita praktikkan selama ini?

1. Menyakiti perasaan orang lain.
  • Iaitu memberi yang kepada orang lain sambil mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak sedap didengar. "Nah! Ambil wang ini dan pergi jalan!". Bayangkan sekiranya kita yang menerima wang daripada orang begitu. Bukankah kita berasa sesak dada?

2. Menunjuk-nunjuk.
  • Ramai orang benci kepada orang lain yang suka menunjuk-nunjuk tetapi pada waktu yang sama, ramai orang suka menunjuk-nunjuk.

3. Merungut.
  • Sebelum kita melakukan sesuatu, sebaik-baiknya kita berfikir dan mempertimbangkannya telebih dahulu, namun dalam bersedekah, apabila kita banyak mempertimbangkannya, mungkin kita tidak memperoleh pahala.
  • Apabila sekali sahaja kita berfikir sama ada hendak bersedekah ataupun tidak, secara automatik kita tidak mendapat pahala.

4. Kebiasaan (Adat).
  • Maksudnya, tidak bersedekah dengan tujuan yang benar iaitu kerana Allah Ta'ala.

5. Memberikan sesuatu yang kita sudah tidak pakai, bukannya memberi sesuatu yang baik.
  • Kita sering melihat individu ataupun pertubuhan mengumpulkan barang-barang terpakai untuk diberikan kepada orang-orang miskin. Ini bukanlah sedekah tetapi "sumbangan barang terpakai".

6. Memberi kerana terpaksa.
  • Mereka merasa terpaksa bersedekah kerana berada dalam kelompok orang-orang yang sering bersedekah.
  • Ataupun, mereka terpaksa bersedekah kerana melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan pujian, sanjungan dan penghargaan.
  • Mungkin juga mereka bersedekah kerana orang yang hendak mereka beri sedekah itu pernah bersedekah kepadanya. Jadi mereka merasa tidak sedap hati jika tidak membalasnya.

7. Asalkan memberi ("Asal bagi sudah..")
  • Kita perlu mengutamakan orang yang memerlukan apabila kita bersedekah. Jangan mudah memberikan wang kecil kepada para pengemis sedangkan kita mempunyai saudara-mara atau jiran-tetangga yang menghadapi masalah kewangan.
  • "Berikanlah kepada kaum kerabatmu yang terdekat akan haknya, demikian juga kepada fakir miskin dan orang yang berada dalam perjalanan. Itulah lebih baik bagi orang yang mencari keredhaan Allah dan mereka itulah orang yang beruntung" Surah Ar-Rum, ayat 38

Bersedekakah kerana Allah Ta'ala

Lihat artikel tentang Seni Bersedekah Yang Keliru di SINI


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


22 August 2014

Solat Seolah-Olah Kita Sedang Melihat Allah


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 


 بسم الله الرحمن الرحيم 



Persoalan Tentang Islam, Iman, Ehsan, Qiamat dan Tanda-Tandanya

Dari Saidina U'mar Ibnul-Khattab r.a, katanya :


Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di dalam majlis itu seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut sangat hitam, tiada kesan bahawa dia adalah seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk lelaki bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu dia berkata :


Si Pemuda : Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang ISLAM.

Rasulullah : lslam itu ialah bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.


Si Pemuda : Benarlah engkau !


Umar r.a berkata : Maka kamipun merasa hairan kepadanya, kerana dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Kemudian lelaki itu bertanya lagi;


Sipemuda : Terangkan kepadaku tentang IMAN.


Rasulullah : lman itu ialah bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk 


Sipemuda : Benarlah engkau ! Khabarkanlah pula kepadaku tentang EHSAN


Rasulullah : Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. 


Sipemuda : Terangkan kepadaku tentang QIAMAT.


Rasulullah : Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.


Sipemuda : Maka terangkanlah kepadaku tentang TANDA-TANDANYA.


Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.


Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku (Umar) terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya;


Rasulullah : Wahai 'Umar! adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?


Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.


Rasulullah : Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu 

untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

(Sumber; Hadis 40 Imam Nawawi : Hadis ke-2)





Pengajaran Daripada Hadis


  • Kedudukan hadith ini ialah, ia ibu kepada hadith-hadith yang lain.

  • Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawi atau bersifat Rabbaani, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.

  • Orang yang bertaqwa ialah orang yang sentiasa solat di awal waktu secara BERJEMAAH, maka hidupnya akan beres.

  • Orang yang selalu bagi alasan, tidak boleh menjadi orang yang bertaqwa. Iaitu alasan bapa, alasan menjaga anak, alasan saudara datang ke rumah, alasan sedang menguruskan harta, alasan kerja yang sibuk dan terutama sekali mereka yang sibuk dengan isi rumah

  • llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya. Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu

  • Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.

  • Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa "seorang ibu melahirkan tuannya". Apa maksudnya? Maksudnya ialah, apabila hamba wanita tersebut melahirkan anak hasil perkahwinan dengan tuannya, maka taraf anak tersebut secara automatik menjadi tuan kepada ibunya sendiri. Perkahwinan dengan hamba-hamba wanita ini telah berlaku ketika zaman tentera Islam berperang menewaskan musuh-musuh Islam dan membebaskan tanah-tanah yang diduduki musuh. Selepas peperangan, tentera Islam berkahwin dengan hamba-hamba wanita yang ditawan lalu lahirlah anak-anak hasil daripada perkahwinan tersebut, yang menjadi hamba kepada anaknya.

Marilah kita solat 5 waktu, secara Berjemaah. Insyaallah


SUBHANALLAH     ALHAMDULILLAH     ALLAHUAKBAR  


  • Harapan saya agar pihak pembaca dapat menyebarkan info/maklumat yang ada di dalam blog ini kepada rakan yang lain. Sama-samalah kita berdakwah. Insyaallah.
  • Sekian dahulu dari saya. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari saya. Kita akhiri pembacaan ini dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.

SUBHAANAKALLAH HUMMA WABIHAMDIKA ASYHADUANLAILAHAILLA ANTA ASTAGHFIRUKA WAATUBUILAIK.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
(1) وَالعَصرِِ
(2) إِنَّ الإِنسٰنَ لَفى خُسرٍ
     (3) إِلَّا الَّذينَ ءامَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Sebarkan Ilmu Untuk Saham Akhirat

Datang Lagi Ya..Assalamualaikum

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger